FAKTOR jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid dan pembantunya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang kini membimbing skuad Pulau Pinang mendorong pemain tengah, Muhammad Khairu Azrin Khazali memilih skuad Harimau Kumbang musim ini.

Bekas pemain Terengganu FC (TFC) yang lebih mesra dipanggil Acong itu turut mengakui keinginan untuk membantu Pulau Pinang kembali mewarnai pentas Liga Super musim depan juga antara penyebab dia memilih pasukan itu.

Pemain kelahiran Hulu Langat, Selangor itu juga nekad mengembalikan semula tahap prestasinya selepas lebih banyak memanaskan bangku simpanan sebelum ini ketika mewakili skuad Penyu musim lalu.

“Faktor jurulatih banyak memainkan peranan untuk saya mewakili Pulau Pinang musim depan biarpun skuad Harimau Kumbang itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Selain itu, keinginan untuk membantu skuad itu beraksi semula pada pentas Liga Super musim depan sebagaimana sasaran pihak pengurusan juga mendorong saya bersetuju menyarung jersi skuad itu.

“Kehadiran dua bintang import iaitu Lee Chang Hoon dan pemain tinggi lampai dari Brazil, Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali Casagrande juga menarik minat saya untuk beraksi bersama pasukan itu,” ujar Azrin.

Azrin berkata, dia mahu menjadikan penyertaannya bersama Pulau Pinang sebagai pelaburan berbaloi dan bukannya sekadar pelengkap senarai pemain pasukan itu.

“Sebelum ini, saya pernah beraksi bersama PKNS, Melaka United, FELDA United selain TFC, jadi saya berharap mampu memberikan aksi terbaik selain mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan itu,” ujar Azrin.

All copyrights for this article are reserved to Metro