“KEDAH nak Akhyar bayar RM300,000,” kata pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan jumlah pampasan diminta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terhadap bekas pemainnya, Akhyar Rashid.

Bagaimanapun, Tunku Ismail yakin jumlah tuntutan diminta KFA mampu dilunaskan pemain berusia 20 tahun berasal dari Jitra, Kedah itu.

Jelasnya lagi, keputusan Pusat Timbang Tara (AIAC) yang berpihak KFA tidak harus dikaitkan dengan kelabnya kerana kes berkenaan hanya membabitkan Akhyar dan skuad Helang Merah.

“Kes ini Kedah ambil tindakan ke atas Akhyar, bukan JDT. Jadi yang kena bayar adalah Akhyar bukan JDT. Kedah nak Akhyar bayar RM300,000, tetapi Akhyar masih boleh buat rayuan untuk bayar kurang dari jumlah itu. Tetapi jangan risau, apa-apapun Akhyar akan bayar, dia kaya, terima kasih,” katanya membalas reaksi penyokong di ruang Instagram penyokong skuad Harimau Selatan hari ini.

Kelmarin, AIAC memutuskan isu kontroversi perpindahan Akhyar memihak KFA selepas skuad Hijau Kuning itu tidak berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Difahamkan, ketika itu adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.

Jumlah berkenaan dipertikaikan KFA sebagai keputusan tidak ‘menang-menang’ kepada mereka selaku majikan dan menyaksikan KFA terpaksa menuntut pembelaan dengan mengheret kes terbabit ke AIAC.

All copyrights for this article are reserved to Metro