PENJAGA Gol Liverpool, Alisson Becker mengambil kesempatan cuti musim sejuk untuk kembali ke Brazil dan menjalani latihan bersama abangnya di kelab Serie A Brazil, Fluminense.

Alisson, 27, dilaporkan menghadiri tiga sesi latihan tetapi dia meminta untuk tidak diambil gambar ketika itu dalam usaha mengurangkan tanggapan tidak baik mengenai penampilannya di kelab itu.

Alisson melihat aksi abangnya Muriel bermain buat kelab itu di Maracana dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 menentang kelab Chile, Union La Calera saingan Copa Sudamerica pada Rabu lalu.

Alisson kelihatan menjalani latihan di Brazil. FOTO IG Alisson.

Pasukan utama Reds mempunyai 14 hari rehat antara kemenangan 4-0 ke atas Southampton dalam saingan Liga Perdana dan kunjungan ke Norwich pada 15 Februari ini.

Barisan pemain mengambil peluang berehat di destinasi pilihan masing-masing di seluruh dunia, dengan Joe Gomez di California dan Adam Lallana di Miami.

Bagaimanapun, James Milner kekal menjalani latihan dan bertindak sebagai mentor bagi pemain bawah 23 tahun yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Shrewsbury pada perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA.

All copyrights for this article are reserved to Metro