PASUKAN berstatus WorldTour, NTT Pro Cycling Team, pasukan terbaik dunia memulakan langkah kanan apabila pelumbanya, Maximilian Walscheid menguasai acara Kriterium Antarabangsa PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Kota Kinabalu, hari ini.

Biarpun tidak menawarkan sebarang mata dalam saingan, Kriterium Antarabangsa mampu menjadi penilaian awal buat kesemua 21 pasukan bertanding pada edisi ke-25 LTdL yang kini berstatus Siri Dunia.

Pada saingan sejauh 80 kilometer membabitkan 116 pelumba, Walscheid muncul pemenang menewaskan pelumba negara, Mohd Harrif Saleh (TSG) dan Blake Quick (St George Cycling Team) dengan masa 1 Jam 42.01 saat.

Bagi Walscheid yang pernah meraih lima kemenangan peringkat Tour de Hainan tahun lalu berkata, kemenangan itu satu permulaan yang baik bagi dirinya. “Kami sentiasa berada di posisi terbaik hari ini. Dua pelumba kami berjaya menempatkan diri dalam kelompak pemecah jadi tiada tekanan untuk terus mengejar kelompok hadapan. Kemenangan ini memberikan saya satu perasaan yang hebat sebelum memulakan perlumbaan sebenar musim ini. Apa yang penting kami semua dapat bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan,” katanya.

Saingan sebenar LTdL akan menyingkap tirai esok di Kuching, Sarawak membabitkan laluan sejauh 96.2 kilogram. Peringkat pertama turut menawarkan tiga zon pecutan iaitu di Sijangkat, Kuching Isthmus dan Padang Merdeka bakal menyaksikan siapakah penyarung jersi pertama raja pecut. #PETRONASLTDL2020 #PengejarImpian

All copyrights for this article are reserved to Metro