PELUMBA kebangsaan yang menyarung jersi Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki meluahkan dia bagaikan tidak sabar untuk menyertai jelajah perlumbaan sama ada dalam ataupun luar negara.

Pelumba itu menyatakan tempoh ‘berkurung’ bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir tiga bulan begitu memeritkan selepas tanpa sebarang jelajah perlumbaan.

Malah anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu yang mula menyertai TSG sejak penubuhan kelab itu pada 2011 sedikit bimbang jika kayuhannya ‘berkarat’ lebih-lebih lagi setakat ini belum ada lagi kalendar kejohanan yang bakal disertai sama ada dalam ataupun luar negara.

Namun pelumba skuad Sukan Sea negara di Filipina tahun lalu itu akui sedikit terubat apabila dapat berkayuh di luar rumah selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan ‘lampu hijau’ kepada sukan yang tidak membabitkan perhimpunan dan sentuhan berlatih di luar.

“Saya bimbang jika prestasi semasa menurun, oleh sebab itu kami sudah mula berlatih di luar sejak Mei lalu, malah bermula Hari Raya ketiga lagi kami sudah ke gelanggang berkayuh bagi mengekalkan momentum.

“Selain bersiap sedia pada bila-bila masa menyertai kejohanan jika negara dan dunia pulih daripada penularan wabak pandemik Covid-19 itu,” kata Amirull yang menjuarai kejohanan kebangsaan pada 2015 dan 2019.

Dia turut merangkul jersi kuning Tour de Siak Indonesia pada 2019, ketiga Tour de Hokkaido Jepun dan tempat pertama pusingan ketiga Tour of Peninsular pada 2019.

Pelumba yang pernah mewakili negara pada Kejohanan Lebuhraya Asia 2014 di Kazakhstan dan Uzbekistan pada 2019, Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia 2018 di Indonesia terkilan tidak dapat menyertai kejohanan.

Sebelum ini TSG mengumumkan terpaksa menarik diri daripada menyertai lima jelajah akibat penularan wabak Covid-19 selepas mengambil kira semua faktor terutama kesihatan dan keselamatan pelumbanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro