SENTUHAN magis Datuk Misbun Sidek sememangnya tidak pernah mengecewakan apabila terbaru beliau berjaya membantu pemain muda negara meraih dua gelaran di Terbuka Remaja Jerman semalam.

Pemain dimaksudkan ialah Kok Jing Hong yang muncul juara acara perseorangan selepas menewaskan wakil Indonesia, Alvi Wijaya Chairullah 21-15, 21-15 hanya dalam tempoh 25 minit.

Kemudian gandingan beregu lelaki, Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Rayhan Nur Fadillah-Rahmat Hidayat 13-21,21-18,21-16.

Misbun yang kini menggalas tugas selaku Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan nyata gembira dengan pencapaian anak buahnya itu.

MISBUN bersama Jing Hong (tengah).

“Syukur alhamdulillah dapat melihat kejayaan Kok Jing Hong dan pasangan Arif Junaidi-Muhammad Haikal muncul juara Terbuka Remaja Jerman German selepas masing-masing menewaskan wakil Indonesia.

“Saya beranggapan ia satu permulaaan dan mereka harus kekal fokus bagi berdepan kejohanan akan datang,” katanya di laman sosial miliknya.

Ia kejayaan pertama Misbun selepas dilantik menggalas tugas baru itu pada awal bulan lalu.

Legenda negara itu bukan lagi asing dalam mencungkil bakat pemain muda apabila pernah melatih pemain sehingga ke pentas dunia.

Antara yang pernah mendapat didikan Misbun ialah bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta pasangan adik beradik, Roslin serta Muhammad Hafiz Hashim.

All copyrights for this article are reserved to Metro