BEKAS pelumba basikal kontroversi Amerika Syarikat (AS), Lance Armstrong mendedahkan dia kali pertama terpalit dengan dadah ketika berusia 21 tahun, ketika musim pertamanya sebagai pelumba profesional.

“Wow, tanpa berselindung, mungkin 21,” Armstrong memberitahu apabila ditanya berapa umurnya ketika dia pertama kali terbabit isu doping dalam temubual sebagai sebahagian rakaman dokumentari ESPN.

Perbincangan bersama wartawan AS, Marina Zenovich dapat disaksikan dalam trailer 90 saat yang disiarkan semalam. Rakaman yang mengandungi dua bahagian dokumentari diberikan judul “Lance” dijadualkan disiarkan di ESPN pada 24 dan 31 Mei.

Semasa rakaman itu, bekas rakan sepasukan US Postal Service, Tyler Hamilton dan George Hincapie memberi maklum balas kepada soalan sama mengenai dadah meningkatkan prestasi, Armstrong kini 48, menjelaskan terdapat “beberapa cara untuk menentukan doping”.

“Cara yang paling mudah untuk dikenal pasti adalah melanggar undang-undang. Adakah kami mengambil suntikan vitamin dan benda lain yang seumpamanya pada usia muda? Ya, tapi ia tidak salah dari segi undang-undang.

“Saya sering bertanya (apa yang diberikan kepada saya). Saya sentiasa tahu, dan saya sering membuat keputusan sendiri,” katanya.

“Tiada siapa kata, jangan tanya, ini adalah apa yang anda terima. Saya tidak akan pernah terjerumus ke masalah ini. Saya sentiasa memastikan apa yang diberikan dan saya memilih untuk melakukannya.

Armstrong menguasai perlumbaan basikal profesional pada tahun 2000 dan memenangi Tour de France tujuh tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2005.

Dia kemudiannya dinafikan memenangi kejuaraan terbabit dan menerima penggantungan sepanjang hayat dari sukan itu pada 2012 selepas Agensi Anti Doping AS menentukan bahawa dia adalah tokoh utama dalam program doping canggih pasukan Postal Service AS.

All copyrights for this article are reserved to Metro