HASRAT Arsenal untuk merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian apabila John Fleck berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Sheffield United meraih mata penting selepas seri 1-1 di Emirates.

Gabriel Martinelli mengisi kekosongan di bahagian kiri selepas Pierre-Emerick Aubameyang digantung perlawanan dan dia berjaya menjaringkan gol pembukaan Gunners di hujung separuh masa pertama.

Bagaimanapun, anak buah Mikel Arteta sekali lagi dihukum dengan barisan pertahanan longgar apabila Fleck melepaskan rembatan menumpaskan Bernd Leno lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Arsenal hanya tewas sekali dalam enam perlawanan sejak Arteta mengambil alih namun mereka hanya mencatat satu kemenangan selepas lima aksi EPL untuk kekal 10 mata di belakang kelompok empat terbaik.

“Saya sangat kecewa hari ini (semalam) kita hilang dua mata. Dalam saingan EPL jika anda mendahului 1-0, ketika berbaki 10 hingga 15 minit lagi, anda harus berhati-hati kerana apa saja boleh berlaku,” kata Arteta.

Pasukan pelawat pula empat mata mengatasi The Gunners dan kurang satu mata untuk slot ke Piala Europa dengan menduduki tempat ketujuh.

All copyrights for this article are reserved to Metro