ARSENAL bakal beraksi tiga perlawanan tanpa Pierre-Emerick Aubameyang selepas Mikel Arteta mengesahkan rayuan mereka yang mahu kad merah pemain itu ditarik balik tidak berjaya.

Aubameyang diarah keluar padang selepas mengasari Max Meyer pada babak kedua ketika Arsenal seri 1-1 dengan Crystal Palace pada Sabtu lalu.

Kapten Arsenal itu pada mulanya hanya dilayangkan kad kuning tetapi VAR mengarahkan pengadil Paul Tierney mengubah keputusan kepada kad merah.

Arsenal membuat rayuan tetapi ketika sidang akhbar menjelang aksi menentang Sheffield United – Arteta berkata, Aubameyang perlu menjalani hukuman itu.

“Saya mengesahkan dia digantung tiga perlawanan, jadi dia tidak akan bersama kami dalam tempoh itu,” kata Arteta kepada wartawan.

“Ini amat memalukan, ia kehilangan besar kepada kami kerana kami tahu dia tidak berniat sengaja melakukannya. Cuma dia tersalah jangka terjahan itu tetapi kami perlu terima hukuman itu.

“Dia sangat sedih selepas perlawanan, kecewa meninggalkan pasukan dengan 10 pemain. Bagi saya dia sangat bagus, bekerja keras, menjaringkan gol dan salah seorang pemain yang sangat penting kepada pasukan jadi tanpanya satu berita yang buruk bagi kami.”

Aubameyang terlepas aksi menentang Blades, Sabtu ini, aksi ‘derby’ menentang Chelsea dan Piala FA menentang Bournemouth.

All copyrights for this article are reserved to Metro