HANYA Persatuan Badminton Malaysia (BAM) saja yang mempunyai jawapan kenapa beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Bekas pemain negara, Cheah Soon Kit yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, bagaimanapun percaya keputusan BAM melepaskan gandingan berkenaan mungkin ada sebabnya yang tersendiri.

“Mungkin mereka sudah berfikir sedalam-dalamnya. Sekarang hanya mereka saja yang tahu (mengapa Yew Sin-Ee Yi perlu digugurkan),” kata Soon Kit ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kelmarin, Yew Sin-Ee Yi seakan memberi isyarat kepada BAM bahawa mereka masih lagi antara pasangan terbaik negara selepas muncul juara di Masters Thailand dengan menumpaskan wakil China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-16, 21-17.

Sejak dilepaskan BAM awal bulan ini, Yew Sin-Ee Yi membuktikan mereka masih lagi boleh memberikan sesuatu buat negara, selepas dua kali berturut-turut mara ke suku akhir di Masters Malaysia dan Indonesia.

“Saya rasa mereka mempamerkan prestasi yang bagus, mungkin mereka sudah mempunyai azam baharu dan mahu membuktikan sesuatu. Saya harap kejayaan ini memberikan mereka lebih keyakinan,” kata Soon Kit.

Dalam aksi final kelmarin, Yew Sin-Ee Yi terpaksa bertindak bersendirian tanpa ada jurulatih di belakang mereka.

Sebelum ini di Masters Malaysia, mereka dibantu oleh bekas beregu lelaki negara, Tan Boon Heong.

Difahamkan pasangan profesional ini akan sama-sama menyertai Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk berada di bawah bimbingan seorang lagi pemain beregu lelaki negara, Chew Choon Eng.

All copyrights for this article are reserved to Metro