PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak bertindak kejam sebaliknya masih lagi memberi ruang dan waktu buat barisan kejurulatihan sebelum melakukan penilaian kali kedua April ini.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pertimbangan itu dibuat selepas memikirkan aspek hubungan antara manusia.

“Proses ini menyaksikan satu Malaysia bersama kami. Saya memberitahu Datuk Tey Seu Bock (ketua jurulatih wanita) dan Rosman Razak (jurulatih beregu wanita), bawa pemain anda ke tahap yang lebih baik dan mereka memahaminya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM hari ini.

Ujar Norza, mereka sudah menjelaskan dengan jelas bahawa perubahan dibuat untuk mencapai sesuatu di Sukan Olimpik 2020 Tokyo dan sempena Program 2024 (Sukan Olimpik 2024).

“Perubahan ini dibuat untuk persiapan 2024, di mana pemain muda yang akan melalui beberapa fasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Saya juga ada bercakap kepada pemain yang tidak mencapai prestasi tapi mengapa mereka dikekalkan dalam tempoh kelayakan Olimpik? Sebenarnya saya mahu mereka bangkit dan bukan hanya jadi penumpang saja.

“Tempoh lapan bulan ini adalah untuk mengubah mereka menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro