PROGRAM khas akan diwujudkan buat atlet dalam membantu mereka menjana pendapatan yang akan dikendalikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu dibincangkan empat hari lalu bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Muslimin Yahaya bagi tujuan membantu belia dan atlet yang tidak mempunyai pekerjaan untuk berdaftar dengan program berkenaan.

Beliau berkata, satu jawatankuasa teknikal sudah diwujudkan untuk membincang secara terperinci program berkenaan yang mana satu memorandum akan dibentangkan kepada kabinet pada penghujung Jun ini untuk memohon kelulusan.

“Sebanyak 36 program sudah dikenal pasti dan hanya perlu diperhalusi. Bagaimanapun ia perlu mendapat kelulusan dan bantuan daripada kerajaan dari segi kewangan.

“Saya mahu belia dan atlet yang tidak mempunyai perancangan atau pekerjaan untuk terbabit dalam program mengeluarkan makanan negara kerana ketika ini kita masih banyak import makanan dari luar negara.

“Banyak perkara mudah yang boleh dibuat. Contohnya seperti program tanam menanam sayur di belakang rumah. Saya dah bincang dengan pakar. Tempat tidak menjadi masalah besar. Kita ada sistem menggunakan teknologi tinggi,” katanya.

DR Wan Junaidi (tengah) bergambar dengan bekas atlet negara B40 setelah menyampaikan sumbangan di Menara Bank Rakyat. FOTO Amirudin SahibDR Wan Junaidi (tengah) bergambar dengan bekas atlet negara B40 setelah menyampaikan sumbangan di Menara Bank Rakyat. FOTO Amirudin Sahib

Terdahulu beliau ditemui pada majlis sumbangan wang tunai sebanyak RM12,000 disalurkan oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al Barakah, TV3 dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) kepada bekas atlet negara sebagai menghargai jasa mereka yang banyak berbakti.

Seramai 24 bekas atlet kebangsaan yang terdiri daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan serta kurang upaya mendapat bantuan wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang yang akan diagihkan oleh Yakeb.

“Kami berharap agar sumbangan ini dapat mengurangkan beban mereka sekeluarga dan menambah keceriaan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun perayaan kali ini disambut sedikit berbeza berbanding dengan tahun sebelumnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.

All copyrights for this article are reserved to Metro