LIONEL Messi menjaringkan dua gol ketika Barcelona membelasah Leganes 5-0, pagi ini, untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Raja Sepanyol sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada jurulatih baharu Quique Setien.

Messi meledak dua gol, begitu juga gol masing-masing dari Antoine Griezmann, Clement Lenglet dan Arthur Melo mengesahkan kemenangan bergaya skuad itu di Camp Nou.

Ia sekali gus menunjukkan kebangkitan semula skuad yang tewas mengejut dalam saingan La Liga di gelanggang Valencia, Sabtu lalu.

“Kami melakukan banyak perkara dengan baik tapi saya tidak benar-benar gembira kerana kami juga hilang kawalan pada perlawanan itu selepas separuh masa pertama,” kata Setien.

Kekalahan di Mestalla membolehkan Real Madrid mendahului tiga mata selesa di puncak liga dan memberikan tekanan awal kepada Setien yang menggantikan Ernesto Valverde sebagai jurulatih awal bulan ini.

Pelantikannya akan dinilai berdasarkan prestasi dalam liga dan Liga Juara-Juara musim ini tetapi Barca sudah melakar beberapa sejarah di Piala Raja Sepanyol ketika menang empat daripada edisi lima tahun terakhir ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Sevilla dikejutkan kelab divisyen dua, Mirandes selepas tewas 1-3 pagi ini.

All copyrights for this article are reserved to Metro