HARAPAN Barcelona untuk meraih kejuaraan liga terganggu dengan keputusan seri 2-2 awal pagi tadi ketika menentang Celta Vigo, sekali gus membuka peluang buat Real Madrid untuk memintas dengan kelebihan dua mata.

Luis Suarez dua kali meletakkan pasukannya di depan di Balaidos dengan menyumbat gol pertama sejak Januari namun sepakan percuma Iago Aspas di hujung saingan membantu Celta mencatat keputusan seri.

Barca akan berdepan lawan lebih sukar Selasa ini apabila bertemu Atletico Madrid, yang bangkit pada saat akhir untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Alaves di Wanda Metropolitano.

Atletico berada di tangga ketiga dengan kelebihan empat mata mengatasi Sevilla.

“Perasaan saya sudah tentu lebih kepada negatif. Jika kami mahu kekal dalam perlumbaan takhta dan cuba untuk menjulangnya, kami harus memenangi semua perlawanan. Bagaimanapun, sekarang kami harus bergantung kepada Madrid untuk kehilangan mata,” kata Suarez.

Suarez memberikan persembahan terbaik sejak melakukan pembedahan lutut Januari lalu, gol pertamanya hadir melalui sepakan percuma Lionel Messi, yang ramai menjangkakan dia akan melakukan rembatan terus ke gawang gol sebaliknya menemui pemain kelahiran Uruguay itu.

Celta menyamakan kedudukan pada minit ke-49 apabila Okay Yokuslu berjaya melakukan larian deras ke dalam petak penalti sebelum melakukan hantaran kepada Fedor Smolov yang mudah menampan masuk.

Bagaimanapun, Suarez kembali meletakkan Barca di depan pada minit ke-66 hasil kesilapan Dani Suarez yang kehilangan bola hasil tekanan yang diberikan Ansu Fati.

Messi yang melakukan larian deras mengambil bola berkenaan di dalam petak penalti sebelum melorongkan kepada Suarez dengan melakukan pusingan badan menarik untuk menyepak bola ke dalam gawang gol.

Tiga minit sebelum perlawanan tamat Aspas melakukan sepakan percuma rendah tatkala benteng yang dilakukan oleh pemain Barcelona terpedaya untuk membolehkan Celta memperoleh jaringan penyamaan.

All copyrights for this article are reserved to Metro