LIMA pemain Barcelona didapati positif Covid-19 sebelum ini namun keputusan ujian kesihatan mereka tidak pernah didedahkan kepada umum.

Stesen radio Catalan, RAC1 dalam sebuah rancangan juga mendedahkan dua staf kejurulatihan turut dijangkiti virus selepas keputusan positif dikesan dalam ujian darah yang dilakukan pada peringkat awal krisis koronavirus.

Semua yang dijangkiti itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan kini telah pun pulih namun tetap menimbulkan kebimbangan kepada ketua-ketua kelab terutamanya kesan virus itu ke atas pemain terbabit.

Perlawanan pertama Barcelona apabila La Liga kembali bersambung ialah pada 13 Jun di Majorca.

Sehingga kini belum ada komen rasmi daripada Barcelona berhubung pendedahan itu.

Pengurus kelab Espanyol yang berpangkalan di Barcelona, Aberlardo Fernandez Antuna mendedahkan bulan lalu, skuadnya berdepan sepuluh kes koronavirus.

Katanya, lapan pemain dan dua staf kejurulatihan diuji positif Covid-19 termasuk Matias Vargas, Leandro Cabrera dan Wu Lei.

Menurut Aberlardo, sesi latihan di Girona pada pertengahan Mac lalu mungkin menjadi punca.

“Kami tinggal bersama selama dua hari dan kami diberitahu mungkin ada diantara kami dijangkiti tanpa sebarang gejala.”

All copyrights for this article are reserved to Metro