PERSATUAN Hoki Terengganu (PHT) dikejutkan dengan berita kematian bekas tonggak tengahnya, Syamiru Aiman Bidin, akibat jangkitan kuman dalam otak pagi tadi.

Menurut timbalan presidennya, Mohd Fikri Harun, Allahyarham pernah menyarung jersi Pasukan Hoki Terengganu (THT) dari 2013 sehingga 2016 dan muncul juara liga.

Selain itu, bekas pemain berusia 27 tahun itu turut mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2014 serta Piala Razak tahun lalu.

Mohd Fikri berkata Allahyarham yang masih bujang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 11.48 pagi.

“Pemergiannya satu kehilangan besar buat sukan hoki di negeri ini kerana arwah seorang yang sentiasa memberi komitmen 100 peratus.

“Pengebumian dijangka dibuat selepas solat Asar di kampung kelahirannya di Kampung Kua, Kuala Berang,” jelasnya.

Hujung bulan lalu, Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri dan di bawah perhatian pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Untuk rekod, Allahyarham berpengalaman beraksi untuk THT di bawah bimbingan Sarjit Singh serta berkongsi padang bersama Shahrun Nabil Abdullah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan pasangan adik-beradik, Fitri dan Faizal Saari.

All copyrights for this article are reserved to Awani