JANGAN terkejut jika rayuan menyebabkan hukuman menjadi bertambah berat. Itu peringatan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terhadap beberapa pihak yang mendesak badan induk angkat berat negara itu mengemukakan rayuan secepat mungkin bagi memberi peluang atlet tertentu beraksi di temasya Olimpik 2020.

Presidennya Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru untuk mengemukakan rayuan terhadap tempoh setahun penggantungan yang diterima badan induk itu daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Malah, beliau berkata, PABM mempunyai 21 hari untuk membuat sebarang keputusan lanjut dan bagi badan induk kebangsaan itu, banyak faktor yang perlu diperhalusi sebelum membuat rayuan.

“Ramai memikirkan apabila kita buat rayuan mungkin hukuman boleh dikurangkan namun mereka tidak tahu sebenarnya PABM juga boleh didenda atau dihukum dengan lebih berat lagi.

“Elok sekarang kita didenda atau dihukum setahun penggantungan mungkin akan bertambah menjadi dua tahun sekali gus merugikan banyak pihak.

“Kami akan memaklumkannya apabila tiba waktunya nanti. Kami perlu lihat daripada sudut undang-undang, kos dan kesannya secara menyeluruh,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu adalah disebabkan sebelum ini, PABM menggantung atlet Malaysia daripada menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

All copyrights for this article are reserved to Metro