KEINGINAN menambah pendapatan menjadi pendorong kuat kepada atlet silat kebangsaan, Nor Hamizah Abu Hassan terbabit dalam perniagaan murtabak sepanjang Ramadan kali ini.

Produk lain yang turut diniagakan gadis kelahiran Kuala Lumpur itu ialah sambal bilis, pasaran menggunakan kaedah pesanan atau COD selain jualan terus.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang perniagaan sejak awal bulan lalu. Selain memenuhi masa terluang, ia juga dapat membantu orang ramai menyediakan juadah berbuka puasa dengan mudah dan cepat.

“Kemahiran menghasilkan murtabak sejak kecil menjadi kelebihan pada saya menceburi perniagaan berkenaan. Setiap malam selepas selesai menunaikan solat tarawih, kami sekeluarga menghasilkan produk berkenaan.

“Minat menebal dalam perniagaan yang turut disokong keluarga menjadi pendorong kuat kepada saya terbabit dalam bidang berkenaan,” katanya yang mewakili pasukan silat kebangsaan sejak lapan tahun lalu.

NOR Hamizah (kiri) dan Nur Syazreen A Malik bersama pingat emas dimenangi dalam acara akhir kategori 'Puteri Ganda' pada Sukan Sea 2013 di Myanmar. NOR Hamizah (kiri) dan Nur Syazreen A Malik bersama pingat emas dimenangi dalam acara akhir kategori ‘Puteri Ganda’ pada Sukan Sea 2013 di Myanmar.

Dia yang bersaing dalam kelas ganda putri (seni) berkata, sebagai atlet kebangsaan sepenuh masa dia perlu sentiasa mengekalkan kecergasan serta kemahiran dimiliki walaupun tidak menyertai apa juga kejohanan. Justeru setiap hari latihan diadakan selama empat jam pagi dan petang.

Katanya, dia bersyukur sepanjang Ramadan kali ini sambutan terhadap murtabak siap masak dan frozen dengan jenama ‘Murtabak Abah’ begitu menggalakkan. Setiap hari dia mampu menjual hingga 150 keping dengan harga antara RM4 hingga RM15.

“Kesenian yang ada pada sukan silat saya gabungkan bagi menghasilkan murtabak istimewa bersama perasa ayam dan daging, ramai pelanggan menyatakan produk berkenaan memenuhi cita rasa mereka.

“Saya seronok berniaga sambil menerima tempahan pelanggan pelbagai peringkat. Selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti saya bercadang untuk turut menghantar tempahan di sekitar Kuala Lumpur.

“Harapan saya perniagaan yang diusahakan ini dapat terus memenuhi selera pelanggan seterusnya berkembang ke seluruh negara,” katanya yang sebelum ini pernah menggalas cabaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di pentas Sukan Malaysia (Sukma).

All copyrights for this article are reserved to Metro