PEMAIN nombor enam dunia, Stefanos Tsitsipas berkata, tiga bintang bergelar Big Three – Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic amat sukar ditewaskan dan mereka beraksi jauh lebih baik berbanding beberapa tahun lalu.

“Sudah pasti The Big Three masih lagi mengekalkan prestasi dan konsistensi mereka serta sangat komited dengan apa yang dilakukan. Mereka juga sangat sukar ditewaskan. Saya tak bohong, mereka masih mengekalkan tahap permainan yang sama.

“Mungkin ada waktunya mereka agak perlahan tetapi prestasi mereka lebih baik berbanding lima, enam, tujuh atau lapan tahun lalu,” menurut pemain dari Greece itu kepada laman web Tennis Majors ketika ditanya tahap permainan ketiga-tiga bintang itu dalam sukan tenis lelaki.

“Mereka sentiasa bertambah baik, mereka selalu belajar dan lebih berpengalaman berbanding kami. Mungkin dari segi fizikal tidak sama kerana faktor usia berbanding kami kerana kami masih muda yang sesuai untuk mencapai tahap kemuncak dalam sukan ini.”

Tsitsipas hanya sekali dalam kariernya mara ke separuh akhir Grand Slam – Terbuka Australia 2019 selain lima kali menjuarai perseorangan ATP dengan yang terbesar ialah menjulang trofi Pusingan Akhir ATP di London tahun lalu.

Federer, Nadal dan Djokovic sedang berlumba memburu gelaran Grand Slam paling banyak sebelum mengakhiri karier mereka. Federer yang tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak menjalani pembedahan lutut pada Februari lalu mendahului perlumbaan dengan 20 gelaran Grand Slam diikuti Nadal (19) dan Djokovic (17).

Tenis musim ini tergendala sejak Mac lalu susulan pandemik koronavirus. Penganjur Jelajah ATP berkata, mereka akan memberikan butiran lanjut dan terkini kejohanan yang dijadualkan Ogos pada pertengahan bulan ini.

Dengan kemungkinan Terbuka AS dan Perancis bakal berlangsung tanpa penonton tahun ini, perlumbaan untuk mencari Raja Grand Slam bakal diketahui dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

All copyrights for this article are reserved to Metro