DENGAN Liverpool dijangka muncul juara Liga Perdana, Manchester City perlu mengutamakan Eropah dan masih boleh meraih musim yang hebat jika menjuarai Liga Juara- Juara, menurut bekas penyerang England, Ian Wright.

City tewas 0-2 di Tottenham Hotspur semalam yang juga kekalahan keenam dalam aksi liga musim ini, lebih dua daripada keseluruhan kempen sebelum ini dan ketinggalan 22 mata di belakang Liverpool yang dijangka menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga.

Tetapi Wright berkata, City yang bakal menentang Real Madrid dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara bulan ini masih boleh menyelamatkan kempen mereka musim ini.

“Jika mereka tidak merangkul trofi Liga Juara-Juara ia bukanlah musim bagus tetapi jika menang, ia musim yang hebat,” kata Wright kepada BBC.

“Saya akan mula menggilirkan pemain kerana itu yang perlu dilakukan City untuk kekal fokus.” Pep Guardiola yang dua kali menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Barcelona gagal membawa City melepasi saingan suku akhir kejohanan itu.

City kembali dalam saingan liga pada Ahad ini menentang pasukan di tangga ke-19, West Ham.

All copyrights for this article are reserved to Metro