NEWCASTLE United menandatangani kontrak pinjaman bagi mendapatkan khidmat pemain pertahanan kiri England, Danny Rose daripada seteru Liga Perdana, Tottenham Hotspur sehingga hujung musim ini umum kelab itu hari ini.

Rose, 29, adalah barisan pelapis ketiga Newcastle pada jendela perpindahan Januari susulan kehadiran Nabil Bentaleb dan Valentino Lazaro di St James Park kebelakangan ini.

Rose dijangka membuat penampilan bersama Magpies dalam perlawanan liga di gelanggang sendiri berdepan Norwich pada Sabtu.

“Ia adalah satu penghormatan besar buat saya untuk berada di sini,” menurut Rose kepada NUFC TV.

“Saya sangat berterima kasih kerana pengurus (Steve Bruce) membawa saya di sini dan saya akan membalas jasanya dengan mengerahkan segala kudrat yang ada selagi dapat beraksi.

“Pada saya, amat menarik apabila saya dapat hadir di sini dan berpeluang beraksi di hadapan penyokong Newcastle.”

Masa depan Rose di Spurs sering diperkatakan sejak kebelakangan ini apatah lagi hanya melakukan lima penampilan sejak Jose Mourinho dilantik sebagai pengurus pada November.

Kehadirannya dilihat tepat pada masanya ketika Newcastle berhadapan masalah dengan kedua-dua pilihan di posisi itu Jetro Willems dan Paul Dummett mengalami kecederaan berpanjangan.

All copyrights for this article are reserved to Metro