PEMAIN tenis nombor satu Australia, Alex de Minaur menarik diri hari ini ketika pilihan utama di kejohanan Antarabangsa Adelaide itu mengalami kecederaan dalam perut selepas mengharungi minggu sukar di Piala ATP.

Dia adalah pilihan kedua yang menarik diri daripada acara ATP-WTA selepas Novak Djokovic memilih untuk terus ke Melbourne bagi mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia selepas memacu Serbia menjuarai Piala ATP di Sydney.

“Malangnya @alexdeminaur terpaksa menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Adelaide berikutan kecederaan yang dialami,” menurut twitter kejohanan.

“Kami berharap supaya De Minaur cepat sembuh dan dapat berjumpa di Adelaide tahun depan!”

Pemain di ranking ke 18 De Minaur membantu Australia mara ke separuh akhir Piala ATP, menang dua daripada empat perlawanan perseorangan dan memberi tentangan sengit kepada pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal yang menang dengan tiga set.

All copyrights for this article are reserved to Metro