PEMAIN Bulgaria, Grigor Dimitrov mengatasi pemain pilihan kelapan dari Kanada, Denis Shapovalov, 6-3, 7-6(3) dalam aksi pusingan pertama mendebarkan sekali gus mara ke peringkat seterusnya Terbuka Rotterdam, awal pagi ini.

Pemain nombor 22 dunia mengakui dia tidak beraksi pada tahap terbaik namun ia tidak menghalang dirinya menempatkan diri dalam kelompok 16 terakhir yang akan berdepan sama ada seorang lagi pemain Kanada, Felix Auger-Aliassime dan wakil Jerman, Jan-Lennard Struff.

“Ia tidak begitu banyak rentak,” kata Dimitrov yang dikalahkan Roger Federer dalam final 2018 kepada pemberita.

“Tidak banyak rali, tetapi saya diberi tekanan untuk menguasai permainan.

“Saya bertindak tenang pada detik penting dan mengambil tindakan tepat ketika diperlukan.”

Roberto Bautista Agut dan Pablo Carreno Busta trselamat daripada tiga set maraton dalam saingan pusingan pertama masing-masing sekali gus menyaksikan pertembungan 16 terakhir membabitkan wakil Sepanyol itu.

Bautista Agut bangkit selepas ketinggalan di set pertama untuk menewaskan pemain kelayakan dari Hungary, Marton Fucsovics 4-6 7-6(1) 6-1.

Pemain Hungary, Marton Fucsovics hampir cipta kejutan. FOTO AFP

Fucsovics hampir mencatat kemenangan terbesar dalam kareirnya pada set kedua sebelum Bautista Agut memaksa perlawanan ditentukan menerusi set penentuan.

“Peringkat seterusnya akan menjadi pusingan Sepanyol semata-mata apabila berdepan Pablo,” kata Bautista Agut selepas kemenangan itu.

“Saya harap salah seorang daripada kami akan membawa pulang kejuaraan itu.”

Dalam persaingan lain, Carreno Busta memerlukan dua jam dan 45 minit untuk menyingkirkan pemain Perancis, Adrian Mannarino, dengan kemenangan 7-5, 6-7(3), 6-4.

Pemain nombor satu Britain, Dan Evans pula mengesahkan kemenangan 6-3, 7-5 ke atas wakil Jerman, Philipp Kohlschreiber.

All copyrights for this article are reserved to Metro