SERING dibayangi senior, pemain muda Pahang, R Dinesh sudah sedia untuk berada dalam skuad utama pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dinesh yang juga pemain skuad bawah 23 (B-23) negara berkata, sudah tiba masanya dia menyakinkan jurulatih, Dollah Salleh untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Harapan saya untuk musim ini ialah merebut tempat dalam kesebelasan utama Pahang biarpun perlu bersaing dengan pemain lebih senior terutama Mohd Faisal Rosli.

“Jika mendapat peluang, saya akan memberi persembahan yang terbaik dan komitmen 100 peratus dalam usaha membantu Pahang melakar kejayaan terbaik musim ini.

“Pengalaman saya bersama skuad bawah 23 negara sungguh bermakna dan banyak yang dipelajari bersama Datuk Ong Kim Swee . Dengan pengalaman ini saya akan mempersembahkan sebaik mungkin apabila diberi peluang memikul amanah itu,” katanya.

Sebelum ini, pemain kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu sering dibayangi dua pemain senior iaitu Faisal dan Zubir Azmi di posisi pertahanan kiri skuad Tok Gajah.

Namun, ketiadaan Zubir yang berhijrah ke pasukan baharu bakal menyaksikan Dinesh hanya perlu berebut posisi itu dengan Faizal sebaik Liga M bermula 28 Februari depan.

Sebagai pemain yang sudah bersama Pahang selama lima musim sejak 2016, bekas pemain Harimau Muda C itu tekad untuk tampil lebih banyak perlawanan bersama Pahang musim ini.

Justeru, Dinesh mengharapkan kejayaan manis dapat diraih skuad Pahang musim ini selepas gagal menjulang sebarang piala musim lalu.

“Dengan komitmen tinggi, saya dan rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik ,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro