Paris: Novak Djokovic menepati ramalan pada saingan kejohanan tenis Terbuka Perancis dengan hanya melepaskan lima mata pada aksi pusingan pertama untuk mencatat kemenangan ke atas pemain Sweden, Mikael Ymer.

Bintang Serbia yang juga pilihan utama itu dalam usaha memburu kemenangan Grand Slam ke-18 dan kedua di Terbuka Perancis mara dengan kemenangan 6-0, 6-2, 6-3.

Selepas mudah mengatasi lawan dalam tempoh 20 minit di set pertama, Djokovic mengesahkan kemenangan dalam set berikutnya dalam masa satu jam dan 38 minit.

“Ini adalah hasrat saya, cuba untuk tidak memberi ruang kepada lawan dengan aksi pada tahap terbaik,” katanya.

“Sememangnya keadaan ini agak berbeza dengan apa yang kami harungi sebelum ini di Terbuka Perancis. Semua orang bercakap mengenainya. Mengenai bola, keadaan gelanggang tanah liat dan cuaca yang sejuk.

“Semuanya mengharapkan kesempurnaan untuk beraksi, sudah tentu. Tetapi saya fikir ia lebih sesuai dengan gaya permainan saya.”

Ricardas Berankis akan berdepan Djokovic pada saingan seterusnya di Paris selepas pemain nombor 66 dunia dari Lithuania itu menewaskan pemain Bolivia, Hugo Dellien 6-1, 6-4, 6-4, untuk menjadi pemain pertama yang berpeluang menewaskan pemain Serbia di gelanggang pada tahun ini.

Pemain nombor satu dunia itu hanya tewas pada 2020 selepas disingkirkan daripada 16 terakhir Terbuka Amerika Syarikat kerana memukul bola ke arah pengadil garisan.

Djokovic antara pemain pilihan disamping juara 12 kali dari Sepanyol, Rafael Nadal dan naib juara dua kali dari Austria, Dominic Thiem untuk memenangi kategori perseorangan lelaki pada kejohanan itu.

All copyrights for this article are reserved to Metro