JUARA bertahan Novak Djokovic menempah pertarungan separuh akhir dengan pencabar ‘Big Three’, Roger Federer di Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 6-4, 6-3, 7-6(1) semalam.

Federer menyelamatkan tujuh mata akhir dalam aksi sengit lima set ketika menewaskan pemain Amerika Syarikat, Tennys Sandgren beberapa jam sebelum itu tetapi Djokovic berdepan halangan lebih mudah di Rod Laver Arena.

Penonton sudah pasti mengharapkan pertembungan sensasi apabila pilihan kedua, Djokovic menyambung perseteruan Grand Slam dengan Federer, enam bulan selepas berhempas pulas menewaskan bintang Switrzerland itu pada final paling lama dalam sejarah Wimbledon.

“Saya harap dapat sekurang-kurangnya satu mata akhir dalam beberapa hari,” kata Djokovic yang memegang rekod 26-23 ke atas Federer selepas tamat perlawanan menentang Raonic.

“Saya amat menghormati Roger, semua telah dicapainya dalam sukan —sudah pasti salah seorang legenda dalam sukan. Apapun, biarlah yang terbaik memenangi perlawanan.”

All copyrights for this article are reserved to Metro