BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic mendedahkan banyak bersembang dengan Roger Federer dan Rafael Nadal lebih dari kebiasaan sejak kebelakangan ini namun dia tidak menjemput kedua-dua pemain itu untuk beraksi di Jelajah Adria.

Minggu lalu, Djokovic kembali ke Serbia selepas dua bulan kuarantin di Marbella dan mengumumkan perancangan untuk mengadakan Jelajah Adria.

Jelajah Adria akan berlangsung di empat negara Balkan, Serbia, Croatia, Bosnia dan Montenegro bermula dari 13 Jun hingga 5 Julai.

Pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem dan juara ATP Akhir Nitto 2017, Alexander Zverev mengesahkan akan mengambil bahagian di Jelajah Adria.

Djokovic, juara Grand Slam 17 kali berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan pemain dalam Kumpulan Big Three apabila tidak menjemput Federer dan Nadal ke kejohanan berkenaan kerana dia percaya kedua-dua bintang itu akan menolak.

“Saya, Federer dan Nadal banyak berborak lebih dari kebiasaan berikutan perubahan pandemik Covid-19 dan situasi dalam membantu pemain ranking lebih rendah.

“Federer masih berdepan masalah kecederaan lutut, jadi saya tidak mengajak dia. Rafa baru saja turun gelanggang. Minggu lalu dia ada bercakap mengenai Terbuka Amerika Syarikat tapi saya tidak menjemputnya (bermain di Jelajah Adria). Saya percaya dia tidak akan datang walaupun saya menjemputnya,” kata Djokovic.

Federer yang merekodkan 20 kejuaraaan Grand Slam, menjalani pembedahan lutut Februari lalu tidak lama selepas dia tumpas straight set kepada Djokovic dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Australia.

All copyrights for this article are reserved to Metro