KEJOHANAN Berpasukan Asia yang berlangsung dari 11 hingga 16 Februari ini di Manila seharusnya menjadi medan terbaik untuk skuad lelaki dan wanita negara mendapatkan mood sebelum beraksi di pentas lebih berprestij iaitu Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark Mei depan.

Melihat kepada barisan pemain negara yang beraksi pada kali ini, jelas rata-rata mereka kurang berpengalaman. Namun seperti sering saya katakan sebelum ini, merekalah pemain terbaik yang dimiliki negara ketika ini.

Saya percaya sedikit demi sedikit barisan pemain muda negara ini akan memperoleh tahap kematangan yang dimahukan, sekali gus mampu beraksi lebih cemerlang.

Skuad lelaki diletakkan bersama Taiwan dan Singapura manakala pasukan wanita negara pula bersama Hong Kong dan Jepun.

Dua tahun lalu di Alor Setar, skuad lelaki negara layak secara merit ke Piala Thomas selepas berjaya mara ke separuh akhir. Format sama juga akan berlaku pada edisi kali ini.

Namun jika gagal menjadi empat pasukan terbaik, masih ada harapan cerah untuk skuad lelaki dan wanita layak ke Piala Thomas menerusi kedudukan ranking terbaik.

Saya sangat berminat untuk melihat pencapaian barisan pemain negara dalam aksi berpasukan kali ini kerana ia sedikit sebanyak akan memberi gambaran di manakah kedudukan Malaysia apabila beraksi di saingan Piala Thomas dan Uber.

Jadi apa lagi, buktikan kemampuan anda. Jumpa lagi.

All copyrights for this article are reserved to Metro