SELEPAS penyingkiran beberapa pemain, kini timbul pula desas-desus penyingkiran jurulatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Antara nama yang dikaitkan adalah jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock serta jurulatih beregu wanita, Rosman Razak.

Datuk Misbun Sidek juga menjadi buah mulut untuk ditukar kedudukannya daripada ketua jurulatih lelaki ketika ini kepada posisi di bahagian pembangunan pemain.

Benar atau tidak saya sendiri tidak pasti namun BAM menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sudah memberi bayangan untuk menyingkirkan jurulatih yang tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Jika anda sebagai peminat tegar badminton, pastinya anda sendiri dapat menilai bahawa tidak banyak perubahan dalam perseorangan dan beregu wanita negara.

Mungkin sebab itu nama Seu Bock dan Rosman dikaitkan. Bukan menafikan kemampuan kedua-duanya, tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk BAM melakukan pembaharuan ke atas staf kejurulatihan wanita.

Terpulang kepada BAM untuk melantik mereka yang layak, tetapi individu itu perlu mempunyai magis untuk menukar nasib perseorangan dan beregu wanita negara ke tahap lebih tinggi.

Sebab sudah sekian lama pemain wanita negara jauh ketinggalan dengan pesaing lain. Apapun perubahan yang mahu dilakukan BAM, saya percaya ia demi masa depan sukan badminton di negara ini.

Jadi diharap tiada pihak yang mudah berkecil hati. Jumpa lagi.

All copyrights for this article are reserved to Metro