JUARA bertahan MotoGP, Marc Marquez mendedahkan Ducati bertanyakan maklumat mengenai masa depannya sebelum pelumba Sepanyol itu akhirnya menandatangani kontrak baharu empat tahun bersama Honda.

Selepas menjuarai kelas perdana sebanyak enam kali dalam tujuh musim terakhir, adalah tidak mengejutkan mengapa Ducati menunjukkan minat yang tinggi terhadap Marquez.

Malah, sebelum Marquez melanjutkan kontrak, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mengesahkan mahu membuat tawaran ketika ditanya sama ada menjadi impian untuknya bekerja dengan Marquez: “Saya menjuarai 125, 250, kategori Superbike (dengan Aprilia). Tetapi tidak dalam MotoGP. Ini sasaran saya, jadi saya fikir saya telah pun menjawab soalan…”

Tetapi pasti menjadi kejutan besar jika Ducati mampu ‘merampas’ Marquez pada peringkat ini dengan pelumba Sepanyol itu menjelaskan HRC menawarkan projek terbaik untuknya selain enggan meninggalkan pengeluar yang memberinya peluang di MotoGP.

“Saya berusia 27 tahun, saya mempunyai kontrak empat tahun lagi. Anda tidak akan tahu,” kata Marquez kepada SkySport.it ketika ditanya sama ada dia akan bertukar kepada jenama motosikal lain pada masa depan.

“Ada orang berkata saya perlu memenangi kejuaraan bersama jentera lain tetapi saya membuat keputusan dengan hati. Mereka (Honda) memberi peluang kepada saya bertukar dari Moto2 ke MotoGP dan saya muncul juara.

“Saya dengar Ducati bertanyakan maklumat tetapi projek Honda adalah yang terbaik daripada pandangan sukan.

“Buat masa ini, saya katakan tidak (berlumba untuk pasukan lain), tetapi pada masa akan datang, anda tidak akan tahu.”

Jika Marquez menjuarai gelaran tahun ini, dia akan terikat dengan Valentino Rossi sebagai pelumba paling berjaya dalam era kelas perdana moden dan hanya satu ketinggalan di belakang Giacomo Agostini yang memegang rekod lapan gelaran. – Agensi

All copyrights for this article are reserved to Metro