PENYERANG Argentina, Paulo Dybala berkata dia menjadi pemain ketiga dari Juventus didapati positif koronavirus (Covid-19) sementara bekas pemain pertahanan AC Milan, Paolo Maldini mendedahkan anak lelakinya juga dijangkiti.

“Hi semua. Saya hanya mahu memberitahu kami sudah menerima keputusan ujian Covid-19 dan Oriana (Sabatini, teman wanita saya) dan saya didapati positif,” kata Dybala pemain berusia 26 tahun menerusi twitter.

“Bagaimanapun, kami berada dalam keadaan baik. Terima kasih atas semua pesanan anda.”

Juara Itali, Juventus berkata Dybala sudah melalui pengasingan diri sejak Khamis lalu.

“Kami akan terus menjalankan pemantauan. Dia berada dalam keadaan baik dan tidak mempunyai simptom,” menurut kenyataan kelab itu.

Lagenda Itali dan AC Milan, Paolo Maldini dan anak lelakinya sudah dikuarantin. FOTO ReutersLagenda Itali dan AC Milan, Paolo Maldini dan anak lelakinya sudah dikuarantin. FOTO Reuters

Milan dalam satu kenyataan berkata Maldini, kini pengarah teknikal di Milan, dan anak lelakinya berusia 18 tahun – Daniel, pemain skuad remaja, turut bertarung dengan wabak berkenaan.

“Paolo dan Daniel kedua-duanya berada dalam keadaan baik dan sudah melengkapkan dua minggu berada di rumah tanpa berhubung dengan yang lain.”

“Mereka kini akan kekal dikuarantin sehingga pulih sepenuhnya, sebagai syarat perubatan oleh pihak berkuasa kesihatan.”

Maldini, 51, diiktiraf antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman.

Dia memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Milan dan tampil dalam 647 perlawanan.

Pemain Juventus, Daniele Rugani dan Blaise Matuidi turut didapati positif wabak berkenaan yang menyebabkan hampir 800 kematian semalam dan menjadikan keseluruhan 4,825 di Itali.

All copyrights for this article are reserved to Metro