JAGUH skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow meneruskan persembahan cemerlang selepas melayakkan diri ke pusingan ketiga Kejohanan Juara-Juara (ToC) di New York, Amerika Syarikat, hari ini.

Bagaimanapun, pemain nombor 34 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum memperoleh kemenangan 9-11, 11-5, 11-8, 7-11, 11-7 menentang Mathieu Castagnet dari Perancis dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung sekitar 71 minit di Dewan Vanderbilt di Grand Central Terminal.

Bercakap selepas permainan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, pertandingan berlangsung dengan sengit dengan kedua-dua pemain mempamerkan permainan yang baik sepanjang perlawanan, sambil menyatakan penghargaan kepada rakan sepasukannya Ivan Yuen dan Low Wee Wern yang berada di luar gelanggang untuk memberi sokongan moral.

“Saya rasa perlawanan ini adil. Jika anda membuat pukulan longgar anda akan dihukum, saya cuba sedaya upaya mendapatkan bola, dan bukan mudah apabila dua lelaki dewasa bertarung dalam gelanggang yang kecil, bagaimanapun pada saya ini satu perlawanan yang baik, adil dan bersih,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang dipetik dalam laman web Persatuan Skuasy Profesional (PSA) www.psaworldtour.com.

Eain Yow akan menghadapi cabaran pemain nombor tiga dunia, Tarek Momen dari Mesir yang mengalahkan rakan sepasukannya, Marwan El Shorbagy, 9-11, 16-14, 11-7 dan 11-9 dalam satu lagi pusingan kedua.

All copyrights for this article are reserved to Metro