SETIAP individu ada cara tersendiri untuk mengabadikan kenangan terutama ketika bersama rakan seperjuangan dalam satu pasukan yang sudah tentu banyak kenangan manis dikecapi bersama.

Namun, inisiatif bekas pertahanan kiri Manchester United, Patrice Evra lebih mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia apabila menamakan anjing peliharaannya sempena rakan sepasukan ketika bersama Red Devils.

Menerusi paparan Instagram milik bekas pemain kebangsaan Perancis itu, dia memanggil 10 ekor anjing peliharaannya dengan nama barisan bekas pemain Manchester United yang pernah beraksi bersama sebelum ini.

Menariknya, video berdurasi 49 saat itu turut kelihatan anjing pertamanya itu digelar sempena namanya sebelum disusuli Owen Hagreaves, Rio Ferdinand, Wes Brown, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Paul Sholes yang terakhir pemain berasal dari Argentina Carlos Tevez.

Selain itu, Evra juga turut memanggil salah satu anjing peliharaannya itu dengan pemenang lima kali ballon d’or, Christiano Ronaldo selain penyerang prolifik, Wayne Rooney turut tidak terkecuali dalam senarai terbabit.

Setiap kali beliau memanggil nama berkenaan, anjing itu akan mengikut arahan dengan datang kepadanya.

Video berkenaan setakat ini mendapat 4,000 komen di laman Instagram bekas pemain West Ham United berkenaan dengan sudah ditonton lebih 700,000 dan tanda suka 142,340 sejak 6.30 petang tadi.

Karier pemain kelahiran Dakar, Senegal itu bersama Manchester United bermula pada 2006 sehingga 2014 sebelum berpindah ke Juventus dan mengakhiri kariernya bersama West Ham United seterusnya bersara 2019.

All copyrights for this article are reserved to Metro