Imola, Itali: Penganjur Fomula Satu mengambil langkah berani ketika pandemik Covid-19 masih belum reda apabila mengumumkan rekod penganjuran Grand Prix 2021 akan berlangsung sebanyak 23 pusingan termasuk di Arab Saudi.

Rekod sebelumnya dalam satu musim adalah 21. 22 perlumbaan sepatutnya berlangsung pada 2020 namun berikutan wabak Covid-19 ia dikurangkan menjadi 17.

“Ia akan membuatkan mekanik mempunyai lebih banyak kerja,” kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.

“23 minggu jauh daripada rumah. Kami akan berdepan dengan kesukaran dan memerlukan dua pasukan,” katanya.

Biarpun pelumba perlu berada di setiap perlumbaan, pasukan lain juga sedang memikirkan untuk menukar mekanik mereka.

“Kami berharap dapat melakukan sistem penggiliran jadi tidak semua perlu pergi ke setiap perlumbaan,” kata ketua pasukan Williams, Simon Roberts.

Rakan sejawatnya dari AlphaTauri, Franz Tost, mempunyai pendapat yang sama sementara Guenther Steiner dari Haas menjangkakan Covid-19 masih belum berakhir.

“Ada kemungkinan dengan pandemik ini perlumbaan akan dibatalkan,” kata Steiner.

“23 GP, sukar bagi pasukan. Jika berlanjutan, kita perlu mencari jalan keluar seperti kerana hujung minggu yang lebih pendek.”

All copyrights for this article are reserved to Metro