KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menafikan kehadiran pemain berdarah campuran Indonesia-Australia, Christopher Fayers bagi mengisi kuota pemain import skuad Penyu itu.

Sebaliknya jurulatih kelahiran Kelantan itu menyatakan kehadiran pemain berusia 22 tahun hanya sekadar untuk menjalani sesi latihan dan merasai suasana bermain bersama skuad itu.

Sebelum ini kelibat Fayers yang menjalani latihan bersama skuad TFC mencuri tumpuan selain menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia, sama ada pemain itu bakal diserapkan dalam pasukan menggantikan pemain import yang lain.

Peminat juga turut menimbulkan persoalan sama ada pemain itu bakal mengikut jejak pemain naturalisasi berdarah campuran Malaysia- Scotland, Stuart Wark yang kini sudah dirantai pasukan TFC.

Peminat juga turut berpandangan kehadiran Fayers bakal menjadi pemain import kelima skuad itu dengan andaian pemain tengah, Lee Tuck sudah bergelar pemain tempatan selepas dua tahun menunggu dokumen.

“Sebenarnya pemain itu (Fayers) hanya menjalani latihan saja, sebab dia nak rasa suasana bermain di sini, jadi kita terima dia mengikuti latihan dalam skuad TFC.

“Jadi dia (Fayers) bukan pemain yang kita ambil untuk ditandatangani kontrak, kitapun tidak ada perancangan untuk mengikatnya, lagipun status pemain itu adalah pemain import dan bukannya pemain naturalisasi atau pemain tempatan.

“Kita juga sudah cukup kuota pemain import, jadi tidak timbul persoalan mengenai kehadiran pemain itu sama ada kita mahu tukar pemain import yang kita sudah tandatangan,” ujar Nafuzi.

Sebelum ini TFC sudah mengikat tiga pemain import baharu iaitu Dominique da Sylva dari Mauritania yang beraksi di posisi penyerang, pemain sayap Singapura, Faris Ramli dan pertahanan kelahiran Senegal, Babacar Diallo selain pemain import musim lalu, Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov yang masih berbaki setahun lagi kontrak sehingga musim ini.

All copyrights for this article are reserved to Metro