Brighton: Bruno Fernandes menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang dianugerahkan selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR) diminit terakhir perlawanan sekali gus menyaksikan Manchester United meraih kemenangan 3-2 ke atas Brighton.

Brighton dilihat mampu berkongsi satu mata selepas Solly March menanduk masuk bola untuk gol penyamaan minit ke-95.

Bagaimanapun United dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Chris Kavanagh sebaik wisel penamat ditiup selepas bola terkena tangan Neal Maupay.

Penalti yang diberikan susulan penilaian VAR disempurnakan Fernandes untuk gol kemenangan pasukannya.

Maupay meletakkan Brighton di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-40 namun gol itu hanya bertahan selama tiga minit selepas Lewis Dunk menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-43.

Marcus Rashford meletakkan United di depan minit ke-55 menerusi larian solo.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Brighton berjaya menyamakan kedudukan menerusi March minit kelima masa kecederaan.

Namun United bernasib baik apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas wisel penamat dibunyikan apabila bola terkena tangan Maupay.

All copyrights for this article are reserved to Metro