BEKAS pemain antarabangsa Brazil, Fred berkayuh sejauh 600 kilometer selama lima hari bermula semalam bagi membantu keluarga susah yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pemain berusia 36 tahun itu mengumumkan dalam Twitter bahawa ‘Tour de Fred’ bermula dari bandar tenggara Belo Horizonte ke Rio de Janeiero, di mana dia beraksi untuk Fluminense.

Fred berkata, dia mahu membantu 4,000 keluarga susah dan berjanji untuk mendermakan bungkusan makanan setiap kilometer dia berkayuh, tatkala dia juga melancarkan kempen atas talian untuk mengutip sumbangan.

Fred memulakan perjalanan pagi semalam dan memilih untuk menggunakan laluan berdebu dan jalan kecil berbanding lebuh raya bagi mengelak dikerumuni orang yang ingin memberi sokongan terhadapnya seterusya melanggar peraturan penjarakan sosial.

Destinasi terakhirnya ialah pusat latihan Fluminense berhampiran dengan Rio Olympic Park.

Fred menjaringkan 18 gol dalam 39 penampilan buat Brazil dan beraksi di Piala Dunia 2006 dan 2014.

Dia membantu Brazil muncul juara di Copa America 2007 dan Piala Konfederasi FIFA 2013.

Fred mencipta nama di Eropah bersama Lyon apabila membantu kelab Perancis itu menang Ligue 1 tiga tahun berturut-turut dari 2006-08.

Dia kembali ke negara kelahirannya pada 2009 dan menang dua gelaran liga Brazil bersama Fluminense

All copyrights for this article are reserved to Metro