BEKAS petinju negara yang kini menjadi jurulatih skuad tinju Sarawak, Sapok Biki, 46, mengakui sambutan Hari Gawai tahun ini ‘suram’ berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Lazimnya, setiap tahun dia bersama isteri dan dua anaknya akan balik ke kampung halaman di Kampung Isu, Simunjan untuk meraikan Gawai bersama keluarga.

Namun, tahun ini memilih meraikan di kediamannya sendiri di Taman Unigarden, Kota Samarahan.

“Saya hanya menyambut Gawai bersama adik-beradik dan saudara terdekat yang tinggal bersama di taman perumahan Unigarden ini.

“Ia disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang pergerakan merentasi daerah serta rasa tanggungjawab dan sayang kepada keluarga di kampung kerana khuatir penularan wabak Covid-19 boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Pemenang pingat emas acara light flyweight di Sukan Komanwel 1998 itu berkata, kebiasaan jika balik ke kampung halaman dia akan beraya ke rumah saudara beramai-ramai dari rumah ke rumah.

“Apa yang cukup istimewa setiap tahun Gawai ialah dapat menikmati lemang, ayam pansuh dan kuih penganan tatak (kuih jala).

“Tahun ini kita tetap akur dengan arahan kerajaan yang melarang balik ke kampung halaman menyambut Gawai demi keselamatan semua untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Sapok berkata, Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut merencatkan persiapan 13 petinju muda Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Semua petinju kini meneruskan latihan sendiri di rumah dengan cara latihan sendiri. Fokus latihan menjurus kepada bentuk latihan pemulihan dan meningkatkan kekuatan fizikal serta pengekalan tahap kecerdasan memandangkan latihan berat seperti latihan sparing tidak dapat dilakukan.

“Mereka mengikuti jadual yang dimuat naik ke dalam kumpulan mereka, yang kemudian diminta menghantar balik video latihan mereka lakukan. Latihan ini dilakukan dua kali sehari selama kira-kira satu jam setengah bagi setiap sesi,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro