KELAB divisyen dua Sepanyol, Mirandes mencipta kejutan kali ketiga berturut-turut dalam aksi Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan kelab La Liga, Villarreal 4-2 di tempat sendiri untuk mara ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Mirandes mendahului pada awal babak pertama menerusi penyerang Brazil, Matheus sebelum Javier Ontiveros menyamakan kedudukan buat pelawat tetapi Martin Merquelanz kembali meletakkan tuan rumah di hadapan hasil penalti pada akhir babak pertama.

Villarreal tidak berputus dan Santi Cazorla berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tetapi Mirandes yang mara ke separuh akhir pada 2012 kembali mendahului buat kali ketiga menerusi jaringan Odei Onaindia.

Jaringan pada masa kecederaan Antonio Sanchez mengesahkan tempat Mirandes ke saingan empat terakhir yang sebelum ini menewaskan Sevilla dan Celta Vigo pada dua pusingan awal.

All copyrights for this article are reserved to Metro