PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta memberitahu pemainnya mereka boleh membawa keluarga ke Dubai ketika sesi latihan di negara itu.

Gunners tidak beraksi sehingga 16 Februari dan ‘berkampung’ di UAE dalam misi memperkasakan cabaran skuad ketika cuti musim sejuk.

Pasukan dijangka berlepas Khamis ini dan berada di UAE empat hari dan Arteta mempelawa pemainnya membawa insan kesayangan bersama mereka.

Menjelang kunjungan ke negara itu, pengendali dari Sepanyol itu berkata dalam laman web kelab: “ Bagus dapat ke sana, pemain bekerja keras selama ini.”

“Dua bulan terakhir ini memang sukar bagi mereka jadi saya beri mereka rehat beberapa hari. Selepas itu kami akan ke Dubai, mula bekerja dan fokus cabaran Newcastle.

“Kami perlu perbaiki kualiti serangan dan permainan kami juga tidak dapat dijangka tetapi itulah proses. Dalam masa dua minggu lagi, kami mempunyai masa panjang untuk sesi latihan dan kami akan gunakannya. Kami perlukan beberapa pemain yang kembali pulih daripada kecederaan dan berusaha memperbaiki pasukan.” ’

Arsenal seri 0-0 di Burnley kelmarin meninggalkan mereka di tangga ke-10 Liga Perdana, 10 mata di belakang pasukan di tangga keempat.

Mereka hanya menang enam daripada 25 aksi liga musim ini, pencapaian terburuk pada peringkat sama sejak 1913.

All copyrights for this article are reserved to Metro