PENYERANG Borussia Dortmund, Erling Haaland dihalau keluar dari kelab malam di Norway, tatkala dia pulang ke negara kelahirannya selepas saingan Bundesliga musim ini berakhir.

Dalam satu rakaman menunjukkan Haaland diusir keluar dari sebuah kelab malam di negara berkenaan.

Pemain berusia 19 tahun itu sedang bercuti sejak Bundesliga menamatkan saingan hujung bulan lalu, dengan aksi terakhir Dortmund tumpas 0-4 di gelanggang sendiri kepada Hoffenheim.

Pasukan bimbingan Lucien Favre kekal menamatkan saingan di tempat kedua dan sejak dari itu Haaland kembali ke Norway namun terbabit dalam satu insiden yang dikatakan berlaku pada malam semalam.

Rakaman video itu menunjukkan pengawal keselamatan menolak Haaland yang sedang memegang telefon bimbit dan dikatakan ketika itu melakukan panggilan video dengan seseorang.

Selepas itu Haaland dilihat cuba mempersoalkan pengawal keselamatan berkenaan kenapa dia diperlakukan sedemikian.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu berlalu pergi dan ia membuatkan Haaland berang lalu menjerit ke arah individu berkenaan.

Dua lagi pengawal keselamatan cuba untuk menenangkannya, sebelum mereka dilihat berbincang dan penyerang antarabangsa Norway itu diiringi keluar dari kawasan berkenaan.

All copyrights for this article are reserved to Metro