PUSAT Equestrian Pahang Tanjung Lumpur kini berhadapan kekurangan bekalan habuk kayu untuk kegunaan sebagai bahan pengalas dalam kandang kuda.

Ketiadaan habuk kayu menyebabkan kuda mengalami luka pada bahagian badan ketika berbaring serta kakinya juga cedera berikutan banyak masanya berada dalam kandang atau kurungan yang berlantaikan simen.

Pengurus Pusat Equestrian Pahang Tanjung Lumpur, Paiza Md Don berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya terputus bekalan habuk kayu yang sebelum ini dibekalkan oleh beberapa kilang papan di daerah ini.

Menurutnya, setiap bulan pihak menggunakan 10 tan habuk kayu dengan kos RM4,000 untuk kegunaan 20 kuda, setiap empat hingga tujuh hari habuk kayu perlu dibuang dan diganti dengan yang baru.

Katanya, habuk kayu perlu diletakkan dalam setiap kandang atau bilik kurungan kuda bagi memastikan ia sentiasa kering dan tidak terlalu kotor dengan najis haiwan berkenaan.

“Habuk kayu jenis kasar turut menjadi alas atau tilam apabila kuda tidur, bahan berkenaan penting untuk kesihatan seterusnya bagi mengelak badan kuda cedera dan tidak selesa,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang PKP lalu pihaknya terpaksa menggunakan pasir bagi mengantikan habuk kayu namun ia tidak sesuai kerana bahan berkenaan menakung air dan mudah kotor selain kuda kurang selesa.

Paiza berkata, pihaknya hampir dua bulan tidak menerima bekalan habuk kayu disebabkan kilang papan tidak beroperasi, masalah sama berlaku pada semua pusat jagaan kuda seluruh negara hingga menimbulkan kerisauan dikalangan pengusahanya.

Katanya, minggu lalu kali pertama selepas PKP pihaknya menerima sebanyak tiga tan habuk kayu dan kini terpaksa digunakan secara terkawal, jumlah bahan berkenaan terpaksa dikurangkan disetiap kandang.

“Selagi kilang papan tidak beroperasi masalah bekalan habuk kayu akan terus berlaku, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan sebelum ini diharap memberi peluang kepada lebih banyak kilang papan beroperasi.

“Pusat Equestrian Pahang Tanjung Lumpur kini menempatkan 20 kuda milik kerajaan negeri dan beberapa individu peminat sukan berkuda di negeri ini, selain menumpukan kepada program pembangunan kita juga turut adakan aktiviti terapi untuk kanak-kanak istimewa,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro