REHAT terlalu lama serta pusingan perlumbaan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) yang mungkin akan dipendekkan kepada hanya 10 pusingan, nyata memberi kesan besar kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pelumba Aspar itu mengakui bimbang dengan tahap prestasinya sebaik kembali berlumba nanti selepas berehat dua bulan. Dia juga gusar untuk kembali berlumba kerana pandemik Covid-19 masih melanda seluruh dunia ketika ini.

“Memang ada rasa was-was juga apabila fikirkan mengenai Covid-19 tetapi apapun saya memang ingin berlumba. Prestasi saya pada musim ini juga agak terganggu. Sepatutnya saya boleh perbaiki prestasi berbanding musim sebelum ini.

“Apabila tempoh rehat terlalu lama iaitu lebih lama berbanding tempoh musim rehat di MotoGP, saya kena bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Hafizh berkata, dia mendapat perkhabaran perlumbaan musim ini mungkin hanya akan membabitkan 10 pusingan berbanding 20 perlumbaan yang sepatutnya berlangsung.

“Saya difahamkan sekurang-kurangnya 13 pusingan perlumbaan perlu dilangsungkan tetapi mungkin akan hanya berlangsung 10 perlumbaan saja kerana Covid-19.

“Masalah utama sekarang ialah hampir 80 peratus perlumbaan berlangsung di Eropah di mana negara seperti Itali, Sepanyol dan Jerman mempunyai kes Covid-19 dan kematian yang tinggi,” katanya.

Pihak penganjur MotoGP masih belum memutuskan bilakah perlumbaan berprestij itu akan bersambung semula selepas pusingan pertama berlangsung di Qatar, awal Mac lalu yang hanya membabitkan kelas Moto3 dan Moto2.

All copyrights for this article are reserved to Metro