EVANDER Holyfield seakan memberi petanda mahu melakukan kejutan dalam penampilan semula di arena tinju pada usia 57 tahun selepas Mike Tyson mengumumkan perancangan untuk kembali ke gelanggang.

Holyfield – yang mencatat dua kemenangan berdepan Tyson – dengan pertarungan terakhirnya di gelanggang pada 2011 dan di sebalik mahu mencabar kejuaraan heavyweight, sebelum secara rasmi mengumumkan persaraan pada 2014.

Dia seolah-olah menguatkan dakwaan akan kembali semula ke gelanggang pertarungan selepas memuat naik gambarnya dan perkataan ‘come back’ menerusi twitter dengan keterangan di bawah gambar berkenaan “Kemunduran hanya membuka ruang untuk kembali.”

Tahun lalu, Holyfield mendedahkan mahu kembali dari persaraan untuk memenuhi pertarungan pertunjukan di Jepun, seperti dilakukan Floyd Mayweather berdepan ‘kickboxer’ Tenshin Nasukawa pada penghujung 2018.

Malah bekas seteru heavyweight Holyfield, Tyson tampil dengan perancangan sama, mengumumkan dia mungkin melakukan penampilan semula dalam satu pertarungan amal.

Holyfield umum bersara pada 2014. FOTO File AgensiHolyfield umum bersara pada 2014. FOTO File Agensi

Iron Mike yang mendapat gelaran ‘Baddest Man on the Planet’ menjalani latihan khas sejak tiga minggu lalu, melakukan kecergasan dan senaman tinju di kediamannya di California bersama jurulatih pakar seni bela diri campuran (MMA), Rafael Cordeiro.

Menurut Cordeiro agak menarik jika Tyson berlawan dengan Holyfield buat kali ketiga, dan peminat bersetuju.

Tyson muncul juara pertarungan Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Persatuan Tinju Dunia (WBA). Sebelum pertarungan sengit ketika tewas kepada Holyfield pada 1996 dan pertarungan kontroversi ketika menggigit telinga lawannya dalam pertarungan kedua setahun berikutnya.

Di sebalik sejarah pertarungan mereka itu, kedua-duanya sudahpun bertemu dan berada di luar gelanggang pada Februari lalu ketika Tyson Fury mengalahkan Deontay Wilder untuk mahkota kejuaraan heavyweight.

All copyrights for this article are reserved to Metro