“SUKAR digambarkan tetapi setiap hari saya seperti bermimpi.” Ketika zaman remajanya di Nigeria, Odion Ighalo terpaksa menyimpan duit makan tengah harinya demi menonton aksi kelab kesayangan, Manchester United di televisyen pada setiap hujung minggu.

Kini berusia 30 tahun, dia adalah pemain United, pasukan idaman sejak kecil selepas dipinjamkan dari kelab China, Shanghai Shenhua sehingga hujung musim.

Sejak itu, Ighalo menjaringkan tiga gol dalam lapan perlawanan skuad Ole Gunnar Solskjaer dan menikmati kemenangan pertama ‘derby’ Manchester pada Ahad lalu.

Ketika ditemu ramah BBC, dia mengimbau zaman membesar sebagai peminat United, situasi panik sebelum keluar dari China dan impak rakan baharu, Bruno Fernandes.

AKSI Ighalo mengawal bola sebelum meledak gol pertama United ketika menentang Linz. FOTO Reuters

“Ketika membesar, saya banyak tahu mengenai bola sepak kerana saya menyaksikan adik beradik saya menonton bola sepak di TV dan mereka penyokong Manchester United.

“Kadang-kadang anda mendengar komentar di radio. Sesekali anda keluar menontonnya di tempat awam kerana ada di antara kami tak berpeluang melanggannya atau membayar untuk menonton.

“Dalam seminggu anda perlu berjimat cermat dari Isnin ke Jumaat untuk mencapai hasrat itu. Jadi saya gembira dapat melakukannya kerana kehidupan saya semuanya mengenai bola. Saya bermain bola sepak dan menonton pasukan kegemaran dan itu salah satu perkara menggembirakan saya setiap hujung minggu.

“Anda bersiap sedia, basuh jersi, keluar dan menyokong kelab pujaan anda. Anda perlu menyimpan duit. Jika tidak, anda tidak akan dapat menontonnya.

“Kadang-kadang anda bernasib baik jika ada orang membayar untuk anda atau dapat meloloskan diri tetapi sangat sedikit yang bertuah. Ada ketikanya anda hanya mampu mendengar sorakan ‘gooool’ apabila Man Utd menjaringkan gol dan anda menunggu sehingga perlawanan tamat, anda tahu keputusan dan pulang dengan gembira.

“Menjadi pemain Nigeria pertama beraksi bersama Manchester United satu pencapaian hebat buat saya yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat kerana tidak mudah menjadikan mimpi menjadi kenyataan, ia perasaan sangat hebat dan sukar digambarkan.”

All copyrights for this article are reserved to Metro