PEMAIN Amerika Syarikat (AS), Sofia Kenin mengejutkan Garbine Muguruza untuk memenangi Terbuka Australia pada final Grand Slam pertamanya sekali gus muncul pemain termuda memenangi kejohanan itu dalam tempoh 12 tahun.

Sofia, 21, terpaksa bekerja keras bangkit daripada tewas di set pertama untuk melakar kemenangan 4-6, 6-2, 6-2 dalam tempoh dua jam tiga minit.

Pilihan ke-14 itu dilihat menitiskan air mata selepas tamat perlawanan sebelum terus meluru kepada bapanya, Alexander yang juga jurulatihnya.

Ia adalah final yang mengejutkan selepas sensasi AS, Serena Williams tersingkir di pusingan ketiga dan Kenin menewaskan pemain nombor satu dunia dari Australia, Ashleigh Barty di separuh akhir.

“Impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Saya tidak dapat gambarkan perasaan ini.

“Jika anda mempunyai impian, cubalah untuk mencapainya. Ia pasti akan menjadi kenyataan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro