DILAHIRKAN pada tahun tikus dalam kalendar cina, atlet gimnastik negara, Tan Ing Yeh mengharapkan tuah tahun ini mampu membawanya melayakkan diri beraksi di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Mereka yang dilahirkan pada tahun tikus ini dikatakan mempunyai naluri yang kuat, pemikiran yang tajam dan seorang yang bersikap berhati-hati selain boleh bertindak balas dengan baik dalam semua keadaan, mempunyai otak yang berfikiran futuristik, Ing Yueh, 24, masih berpeluang merebut tempat ke temasya terbesar itu pada Mei ini.

Bagaimanapun dia perlu menempatkan di dalam kelompok dua terbaik di Kejohanan Asia selain perlu menguasai semua acara.

Ikuti temubual wartawan Arena Metro bersama atlet dari Melaka sempena Tahun Baharu Cina yang mengharapkan tuah tahunnya itu untuk membawanya terbang ke Tokyo 2020.

Soalan (S) : Apa yang anda harapkan sempena tahun baru ini?

Jawapan (J) : Tahun tikus adalah tahun kelahiran saya. Saya harap tahun tikus akan membawa tuah kepada saya untuk layak ke Olimpik Tokyo nanti. Saya juga mengharapkan yang terbaik tahun ini, bebas daripada sebarang kecederaan dan terus cemerlang dalam setiap pertandingan yang disertai.

S : Apa yang paling anda rindui apabila tibanya Tahun Baru Cina?

J : Pastinya dapat berkumpul dengan ahli keluarga. Dapat bersama-sama makan besar dengan keluarga. Itulah yang paling dirindui. Jika tiada perayaan seperti ini, keluarga saya sukar untuk berkumpul bersama kerana masing-masing mempunyai komitmen, masa Tahun Baru Cina inilah kami dapat bertemu melepaskan rindu dengan semua ahli keluarga.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong (tengah) menggaul Yee Sang bersama atlet negara. FOTO Supian Ahmad

S: Apa perancangan anda seterusnya selepas ini?

J: Kesemua atlet gimnastik baru kembali menjalani latihan bersama selepas tamatnya Sukan SEA Filipina. Pertandingan pertama dijadualkan Mac dan April ini di Jerman. Selain Kejohanan Asia di Jepun Mei ini. Kejohanan Asia adalah peluang terakhir untuk kami melayakkan diri ke Olimpik. Bagaimanapun ia agak sukar kerana dua yang terbaik saja akan layak. Namun saya lihat bukan satu yang mustahil untuk berada di kedudukan itu. Apa yang penting adalah melakukan yang terbaik dan tuah berpihak kepada saya.

S : Gimnastik sering dikaitkan dengan had umur. Anda sudah berusia 24 tahun. Adakah ini Olimpik yang terakhir atau anda akan terus berusaha untuk Olimpik seterusnya di Paris.

J : Jika saya tidak layak kali ini saya akan terus berusaha untuk Olimpik seterusnya. Belum masanya saya memikirkan untuk bersara. Saya tetap mahu mewakili negara selagi termampu.

S : Bilakah umur yang sesuai untuk anda berkahwin?

J : Buat ketika ini, saya belum memikirkan untuk menamatkan zaman bujang. Saya mahu memberi fokus kepada sukan dan pelajaran terlebih dahulu. Soal kahwin itu saya letak ketepi kerana ada perkara lain yang lebih penting.

All copyrights for this article are reserved to Metro