PERDANA Menteri Itali, Giuseppe Conte mengumumkan aksi Serie A dan semua acara sukan di negara itu ditunda sehingga 3 April bagi membendung penularan wabak koronavirus.

Perlawanan Sassuolo dan Brescia awal pagi tadi yang dimenangi tuan rumah 3-0 berlangsung tanpa penonton di Reggio Emilia adalah aksi terakhir Serie A sebelum digantung sementara waktu.

Selepas menjaringkan gol pendahuluan Sassuolo, penyerang Itali, Francesco Caputo memegang kertas tertera yang menggesa penyokong: “Semuanya akan selamat. Duduk di rumah.”

Beberapa jam kemudian, Perdana Menteri Itali menggunakan ayat sama ketika menguatkuasakan larangan yang bermula hari ini.

“Saya menandatangani penguatkuasaan yang boleh diringkaskan seperti berikut: Saya kekal di rumah,” kata Conte ketika membuat pengumuman di televisyen.

Larangan itu diumumkan selepas Itali melaporkan jumlah kematian meningkat kepada 97 orang daripada 463 kes di seluruh negara.

Persoalan yang timbul ialah bilakah musim Serie A akan tamat dengan Euro 2020 bakal bermula 12 Jun walaupun terdapat kebimbangan Euro yang berlangsung di 12 negara mungkin dibatalkan.

All copyrights for this article are reserved to Metro