KEKALAHAN besar 0-5 kepada Melaka United (MU) dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu tidak bermakna skuad baharu Negeri Sembilan musim ini tidak berkualiti.

Sebaliknya, tegas pemain berpengalaman, Shahurain Abu Samah, pemain skuad Hobin Jang Hobin masih dalam proses mencari persefahaman dan keserasian antara satu sama lain.

“Kami sedang membina sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini yang akan bermula hujung bulan depan.

“Justeru itu, kekalahan kepada MU itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan Negeri Sembilan musim ini,” katanya.

Mengulas lanjut, pemain sayap kanan berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengakui keputusan dalam aksi berkenaan menjadi pengajaran buat semua pemain.

Katanya, semua pemain sedar perlu bekerja lebih keras bagi meningkatkan prestasi dengan memastikan setiap perancangan dan arahan pengendali baharu, Sazali Saidun, dapat diterjemahkan ketika turun beraksi.

All copyrights for this article are reserved to Metro