JARINGAN cantik daripada Curtis Jones, 18, memberikan skuad remaja Liverpool kemenangan 1-0 di Everton dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Anfield awal pagi tadi.

Tottenham Hotspur pula memerlukan gol penyamaan Lucas Moura untuk mengelak kekalahan kepada skuad divisyen kedua Middlesbrough ketika skuad kendalian Jose Mourinho bergelut untuk seri 1-1 namun Chelsea mudah membenam Nottingham Forest 2-0.

Crystal Place pula tersingkir kepada kelab Liga Kejuaraan Derby County selepas tewas 0-1 di Selhurst Park.

Jurulatih Liverpool Juergen Klopp membuat sembilan pertukaran terhadap skuadnya, memberi ruang kepada tiga pemain remaja manakala rakan sejawatannya Carlo Ancelotti menurunkan pasukan terkuat mereka.

Bagaimanapun jurang pengalaman di antara kedua pasukan tidak ketara dan sudah pasti menambah luka buat Everton yang tidak pernah menang di Anfield sejak September 1999.

Bagi Liverpool, ia persembahan yang menggambarkan bakat yang lahir daripada akademi mereka di Melwood.

Bagi produk akademi kelahiran tempatan, Jones, ia perlawanan yang tidak akan dilupakannya, menyumbang gol senior pertamanya untuk pertembungan kelab Merseyside itu.

“Saya tidak boleh gambarkan emosi saya. Bagi saya, ia sesuatu yang hebat berada bersama pasukan ini setiap hari dan belajar daripada kelompok pemain ini.

“Mereka adalah pemain bertaraf dunia dalam pasukan ini tetapi saya fikir saya keluar dan tunjukkan apa yang saya mampu di padang,” kata Jones.

All copyrights for this article are reserved to Metro